Walau sehebat mana sekalipun seseorang itu dalam hubungan
percintaannya sesama manusia sama ada lelaki atau wanita tetapi cinta
kepada Allah adalah yang paling utama dan paling yang paling terbaik.
Sesiapa yang menjadikan Allah sebagai cinta agungnya, amat
beruntunglah hidupnya di dunia dan Akhirat. Rugilah seseorang muslim
atau muslimah itu jika ia tidak menyintai Allah. Mari kita ketahui di
antara keuntungan yang diperolehinya ialah:
1. Tiada kecewa
Seseorang itu tidak akan kecewa dalam percintaannya merebut cinta
agung. Seandainya semua makhluk di bumi dan langit berlumba-lumba
merebut cinta Allah, tidak ada siapa yang akan kecewa bahkan Maha
Kuasanya dapat membalas cinta semua makhluk-makhlukNya serentak dari
yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Tiada siapa yang
akan kecundang dan kecewa dalam perebutan mencari cinta agung.
2. Tiada saingan
Tidak akan berlaku saingan, pertarungan, permusuhan atau peperangan
dalam mencari cinta Tuhan. Sebaliknya dalam perebutan mencari cinta
dunia sama ada cinta manusia, biasanya akan berakhir dengan permusuhan
dan akan ada yang kecewa dan menderita.
3. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan
Mendapat cinta Tuhan akan membuahkan ketenangan, kedamaian, keamanan
dan kebahagiaan yang hakiki. Jiwa lapang, hati senang dan tenang. Bahkan
kesengsaraan, kesakitan atau penderitaaan di dalam usaha meraih cinta
agung itu pun sudah merupakan sebahagian daripada kebahagiaan.
Kadangkala hati resah, cemas dan bimbang apakah cintanya terhadap
Allah itu berbalas. Dalam keresahan cemas dan bimbang itu terubat pula
dengan keyakinan bahawa Allah itu Maha Luas RahmatNya.
Maka di situ pula bertambah lagi ketenangan. Sesekali terasa diri
lemah, dhaif dan lalai, tertebus pula dengan pengaduan serta
bermanja-manja dengan Allah SWT yang Maha Pengasih. Bertambah pula
mendalamnya rasa kehambaan.
Sebaliknya merebut cinta dunia akan menimbulkan keresahan dan tiada
ketenangan di jiwa. Walaupun dunia yang dicintai itu sudah ada di
tangan, namun fikiran masih kusut. Mereka yang gagal mendapat dunia yang
dicintai dan diburunya itu pula sudah rarnai yang sakit jiwa dan
berputus asa. Bahkan ada yang sanggup bunuh diri kerana kecewa dalam
percintaan yang tidak kekal itu.
4. Dapat kawan dan perpaduan
Bersama-sama mencari cinta Allah membawa manusia berukhuwah dan
berkawan. Walaupun manusia itu dari berlainan latar belakang, bangsa,
pangkat, kedudukan malah jika pernah menjadi musuh sekalipun, namun di
dalam perjuangan merebut cinta Allah, secara automatik setiap hati
manusia itu akan terikat satu sama lain.
Kerana masing-masing sedang dalam perlumbaan mencari cinta yang satu
iaitu cinta yang hakiki. Sebaliknya pertarungan dalam merebut cinta
dunia akan mengakibatkan ukhuwah dan persahabatan makin jauh dan
terbarai. Akhirnya akan membawa kepada pecah belah dan permusuhan.
5. Menghilangkan mazmumah
Mencari cinta Allah dapat membantu menghilangkan mazmumah. Mazmumah
adalah sifatsifat keji yang terdapat dalam diri manusia seperti hasad,
dengki, sombong, ego, tamak, gila dunia dan lain-lain. Mazmumah dapat
merosakkan segala kebahagiaan dan ketenangan di dalam jiwa seseorang
insan.
Perlumbaan mencari cinta Tuhan adalah salah satu proses paling
berkesan dalam usaha seseorang manusia meruntuhkan mazmumah di dalam
jiwa. Sebaliknya, merebut cinta dunia akan menebalkan mazmumah. Hasad
dengki pasti akan berlaku dan ia bagaikan siraman baja yang menyuburkan
lagi pohon mazmumah dalam diri manusia.
6. Disenangi oleh orang
Mengejar cinta Allah ia akan berada di dalam senang dan tenang. Tiada
siapa yang akan rasa tercabar atau tergugat dalam pertarungan merebut
cinta Allah. Orang yang berusaha merebut cinta agung akan disenangi
semua makhluk.
Manusia senang dan sayang padanya dan para malikat juga turut
mendoakannya kerana makin ramai yang merebut mencintai Allah, semakin
mendorong kepada tercetusnya keamanan dan ketenangan hidup.
7. Tidak akan kesepian atau keseorangan
Memburu cinta Allah tidak akan keseorangan dan kesepian. Biarpun
tiada kawan bersama, kita tidak akan rasa kesunyian dan ketakutan kerana
Allah yang menjadi cinta agung sentiasa ada bersama. Allah bukan
sekadar boleh memerhati, bahkan boleh menjaga dan melindungi kita. Malah
di waktu kita tidur, di kala kekasih yang paling hampir dan paling kita
cintai pun tidak mampu untuk menjaga kita. Allah boleh menjaga dan
mengawal kita kerana Dia tidak tidur.
Meletakkan cinta dan harap pada Allah akan membuatkan hati sentiasa
rasa tenang dan selamat kerana kita tahu bahawa kita berada di dalam
kawalan dan penjagaan satu Zat yang Maha Agung lagi Berkuasa.
Sebaliknya, manusia yang menyandarkan diri kepada cinta selain Allah,
belum tentu makhluk yang dicintainya itu dapat mendampinginya sepanjang
masa lebih-lebih lagi menjadi pelindungnya setiap masa.
8. Jalannya luas dan selamat.
Mengejar cinta Allah jalannya luas, lapang, selamat dan
menyelamatkan, manakala mengejar cinta dunia jalannya sempit,
himpit-menghimpit serta memudaratkan. Begitulah beruntungnya sesiapa
yang menjadikan Allah sebagai cinta agungnya dan malang sekali bagi
sesiapa yang memburu cinta selain Allah.
Masa berjalan begitu laju. Tidak pernah berhenti walau sedetik.
Ertinya begitu laju umur kita meningkat, setiap detik umur kita
meninggalkan kita. Setiap detik umur kita berkurang. Tetapi hakikat ini
jarang kita rasai. Setiap detik, kita makin jauh meninggalkan dunia dan
setiap detik jugalah kita makin dekat menghampiri Akhirat.
Kalaulah kita cintakan dunia, maka apa yang kita cintai itu makin
hari makin jauh terpisah dari kita. Sedangkan Allah yang tidak pernah
kita cintai makin dekat dengan kita. Alangkah malang dan terseksanya
jiwa terpaksa meninggalkan apa yang kita suka dan cintai.
Bertambah malang dan terseksa lagi apabila kita akan berhadapan
dengan Allah yang tidak pernah kita cintai sepanjang hayat kita. Ertinya
kita pergi ke Akhirat, mengadap Allah tanpa membawa apa-apa. Yang kita
cinta hendak ditinggalkan, manakala yang tidak kita cinta, akan
berhadapan dengan kita. Maka kita akan berhadapan dengan dua kali
penderitaan, iaitu meninggalkan yang kita cinta, hendak bertemu Allah
yang tidak kita cinta.
Roda umur kita makin laju ke hadapan. Dunia yang kita cinta makin
jauh kita tinggalkan sedangkan Allah yang sepatutnya kita cinta masih
jauh dari kita. Aduh, malang sekali nasib kita di sana, negara yang
kekal abadi. Kenapa Allah perlu dijadikan cinta agung? Setiap makhluk
perlu menjadikan Allah sebagai cinta agungnya kerana terialu banyak
nikmat dan kasih sayang yang Allah limpahkan kepada makhlukNya.
Oleh kerana begitu besar dan agungnya Allah dalam hidup kita maka
dalam kita berbuat apa sahaja, biarlah bersama Allah. Sertakan Allah di
dalam kehidupan kita dengan membuat apa sahaja hanya kerana Allah dengan
melakukan apa yang disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarangnya.
Alangkah indah dan bertuahnya sekiranya kita di dalam golongan hamba yang dikasihi dan disayangi olehnya :)
Sumber : DiariHati
